PUTRAJAYA: Langkah intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuatkuasa Sabtu ini hingga 5 Jun dapat menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, jika kerajaan tidak melaksanakan langkah itu, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10 sekilogram susulan peningkatan kos penternakan ayam sebanyak 70%.

“Dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Jan, mesyuarat diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya.   “Berikutan peningkatan kos pengeluaran, pihak industri mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan,” katanya dalam kenyataan.  

Isnin lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan.

Nanta berkata, harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak pula akan dibuat berdasarkan lokasi.

Beliau berkata, harga runcit itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 sekilogram ketika Deepavali lepas, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) (7 hingga 31 Dis lepas) dan RM9.10 (1 hingga 4 Feb).

“Penetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil,” katanya.

Nanta berkata, pihaknya sentiasa menyokong langkah proaktif kerajaan bagi memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin dari segi bekalan serta mengelak berlaku kenaikan harga yang membebankan rakyat.