Takiyuddin Kata Tiada Pembalakan Aktif Di Kawasan Hutan Simpan Gunung Inas

Spread the love

Laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan hulu air dan banjir kilat di Baling, semalam.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sebaliknya, terdapat pembangunan ladang hutan di petak lapan, Hutan Simpan Gunung Inas sejak 2019 yang diluluskan kerajaan negeri Kedah.

Beliau berkata tujuan pembangunan ladang hutan adalah untuk penanaman semula yang setakat ini melibatkan penanaman lebih 5,000 pokok di kawasan seluas 52 hektar.

“JPSM telah membuat semakan dan siasatan serta mengesahkan pokok yang dihanyutkan itu bukan daripada balak yang dibalak. Ini kerana hutan dihanyutkan bersama akarnya sendiri.

“Jadi kita nak betulkan anggapan sesetengah pihak bahawa terdapat pembalakan aktif yang menjadi punca kepada hulu sungai (Sungai Kupang),” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio hari ini.

Banjir lumpur di Baling semalam mengakibatkan ratusan penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas dan meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam.

Takiyuddin berkata, pihaknya juga amat sedih dengan bencana alam itu.

“Ini adalah bencana alam, mungkin ada banyak sebab ia berlaku dan sebab itu kementerian sangat serius dalam menjaga biodiversiti dan alam sekitar,” katanya.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.

© 2022 AyieDotMy - Theme by WPEnjoy · Powered by WordPress