Warga Emas ‘Kaki Ayam’ Dibantu Pemuda ‘Hati Emas’

Spread the love

SEBAGAI umat Islam, kita sememangnya dituntut untuk berbuat baik sesama manusia. Walaupun bantuan itu sekecil zarah, namun ia tetap dihargai dan dibalas oleh Allah.

Begitu juga halnya dengan tindakan mulia seorang pemuda yang sanggup berkaki ayam, langsung tidak sampai hati melihat seorang warga emas berkaki ayam.

Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, kelihatan pemuda itu memberhentikan motosikalnya di tepi jalan dan memberikan selipar yang dipakainya kepada warga emas itu.

Dia yang hanya berstoking kemudian berlalu pergi selepas membantu warga emas tersebut.

Video berdurasi 29 saat itu dirakam oleh individu lain tanpa disedari oleh pemuda itu.

Pemuda itu turut kelihatan membantu warga emas itu membetulkan butang bajunya.

“Sesiapa yang jumpa abang Melayu ni, salute dia ok. Brader tolong bagi dia selipar untuk pakcik India,” kata kapsyen video tersebut.

Difahamkan, video itu dirakam berhampiran Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di Batu Caves, Selangor.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji pemuda yang dianggap berhati mulia itu kerana menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

“Didikan ibu bapa mencerminkan sikap pemuda ini.”

“Waktu dia pegang bahu uncle tu… pasti dia pesan ‘jaga diri baik-baik uncle’.”

Rata-rata netizen terharu dengan tindakan mulia pemuda itu.

“Saya hampir menangis melihat video ini. Abang, semoga Allah melimpahkan rezeki yang melimpah-ruah selepas ini,” kata netizen.

Sementara itu, individu yang mendakwa pemuda itu adalah adiknya turut meninggalkan komen mengenai perkongsian tersebut.

“Adik saya ni… Dia memanglah sangat baik. Terlalu baik… suka sangat menolong orang. Dia memang menghormati orang lain lagi-lagi ibu bapa dan orang tua,” tulis pelayar bernama @NoorSuhada.

Baru sahaja dimuat naik dalam masa kurang daripada 10 jam, video itu telah mendapat lebih 1.3 juta jumlah tontonan.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.

© 2022 AyieDotMy - Theme by WPEnjoy · Powered by WordPress